February 21, 2009
February 12, 2009
Menonton Televisyen Melalaikan Muslim
Sekiranya beginilah kehidupan seharian majori manusia Muslim, tidak hairanlah apabila kualitinya seperti buih-buih dilautan. Ini kerana ibadah malam (qiamullail) yang menjadi sumber turunnya rahmat Allah & kekuatan manusia di waktu siang ditinggalkan. Kefahaman manusia terhadap tuntutan-tuntutan agama semakin berkurang malah agama itu ditentang daripada kejahilan akibat meninggalkan pembacaan buku-buku ilmu.
Benarlah al-Imam Hassan al-Banna dalam salah satu daripada 10 wasiatnya yang mashur, yang menganjurkan "Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikruLlah & janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah".
January 29, 2009
Palestin: Menuntut Kesatuan Umat Islam Sedunia
Malah sesetengah negara Islam sendiri Mesir dan Arab dilihat bersekongkol dengan Israel. melalui tindak-tanduk negara Islam seperti Mesir yang enggan membuka sempadan negaranya dengan Gaza untuk membenarkan kemasukan bantuan makanan dan ubat-ubatan serta menerima pelarian perang. Sikap negara-negara Arab khususnya yang bersikap pengecut dalam menghadapi Israel amat memalukan umat Islam di seluruh dunia.
Perpecahan di kalangan umat Islam telah lama menjadi bahan ketawa dan tepuk tangan musuh-musuh Islam khususnya Yahudi dan Nasrani. Dalam konteks Palestin, musuh-musuh Islam tersenyum puas di belakang tabir gelap kejahatan menyaksikan jarum beracun yang mereka cucuk kini menyebabkan umat Islam tidak mampu bangun untuk menghentikan kezaliman di Gaza. Kita juga telah menyaksikan bagaimana tentera penjajah yang diketuai oleh Amerika telah bertindak sewewang-wenangnya ke atas Iraq dan Afghanistan atas alasan memerangi keganasan yang diketahui kepalsuannya, tanpa sedikit pun dibela oleh negara-negara umat Islam yang lain. Sikap buta, pekak dan bisu ini berpunca daripada barah penyakit ”wahn” yang menular ke dalam hati pemimpin-pemimpin negara umat Islam demi survival politik masing-masing yang telah diresapi oleh proksi Yahudi dan Nasrani. Keadaan ini jauh berbeza apabila kesatuan hati telah menghasilkan satu tindakan cukup ampuh untuk mengalang kekejaman Israel apabila negara-negara Arab bertindak melaksanakan embargo (pemulauan) minyak ke negara-negara Barat pada tahun 1976.
Matan Hadith: Allah tidak akan menolong umat Islam yang bermusuh sesama sendiri
Nampaknya umat Islam kini benar-benar hidup di suatu zaman seperti mana yang disabdakan oleh RasuluLlah SAW di mana rata-rata umat Islam dihinggapi penyakit ”wahn” iaitu suatu penyakit yang membuatkan pengidapnya terlalu menyintai kehidupan dunia dan takutkan kematian. Zaman ini juga sebagaimana sabda RasuluLlah SAW, kualiti umat Islam diumpamakan buih-buih di lautan yang mana bilangannya banyak tetapi tidak mampu mendatangkan apa-apa manfaat. Dalam keadaan ini sabda RasuluLlah SAW, umat Islam dikelilingi dan diratah oleh musuh-musuh Islam seumpama hidangan yang dikelilingi dan diratah oleh orang-orang yang kelaparan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”
Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
Kesatuan Hati
Apakah penyebab kepada segala kekalutan yang melanda umat Islam hari ini? Ia tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh ”tiadanya KESATUAN HATI di kalangan umat Islam” itu sendiri. Ini terbukti dengan kegagalan negara-negara umat Islam melalui Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) menekan Majlis Keselamatan (SC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN / PBB) mengeluarkan resolusi mengutuk dan menghentikan serangan Israel.
Lantas, bagaimanakah caranya untuk umat Islam bersatu menjadi satu kekuatan?
1. Pemimpin Negara Islam
Setelah melihat ketidaksatuan dan kecelaruan pendirian negara-negara Islam dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan umat Islam di pentas antarabangsa baik di peringkat OIC mahupun PBB, pemimpin negara-negara Islam haruslah memulakan usaha penyatuan melalui PENDEKATAN PERIBADI. Sebagai contoh, pemimpin negara Malaysia bertemu dan berbincang tentang kemaslahatan (kebaikan / kepentingan) umat Islam khususnya di belahan Asia Tenggara, bersama-sama pemimpin negara jiran, Indonesia. Semoga melalui pendekatan seperti ini, suatu persefahaman antara pemimpin negara umat Islam terbina dalam menghadapi isu-isu seperti permasalahan umat Islam di selatan Thailand dan Mindanao, Filipina. Persefahaman sebegini amat penting supaya satu pendirian bersepadu yang tidak bercanggah antara satu sama lain dapat diutarakan di peringkat antarabangsa sekaligus dipandang berat dan dihormati.
2. Pemimpin Pertubuhan / Pergerakan / NGO Islam
Berbilang jamaah / harakah dengan pelbagai manhaj (cara) perjuangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersatu. Pergeseran golongan khalaf dan salaf umpamanya, telah banyak menghauskan tenaga dan kekuatan umat Islam dalam menghadapi isu-isu yang jauh lebih mendesak. Benar, kebenaran itu harus ditegakkan, tetapi tatkala musuh-musuh Islam giat menghancurkan Islam secara sistematik dan tersusun, kita masih lagi bercakaran sesama sendiri di bawah tempurung usang. Di manakah FIQH KEUTAMAAN kita?
Memetik kata-kata Dr. Azwira Abdul Aziz, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Al-Qur’an & Assunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika Konvensyen Sunnah ke-4 di Universiti Kuala Lumpur, MICET, Alor Gajah, Melaka pada 28 Disember 2008, kesatuan di antara pergerakan / NGO Islam bertitik-tolak pada KEIKHLASAN para pemimpin pergerakan itu sendiri dalam memperjuangkan kepentingan umat. Ini bermaksud, mereka harus mengenepikan segala bentuk perbezaan idelogi dalam perjuangan dan keegoan dalam hati atas manhaj siapa yang lebih baik, kerana apa jua manhaj dan ideologi pergerakan-pergerakan ini, tujuannya adalah untuk mengangkat martabat Islam dan umatnya.
Pendirian terhadap sesuatu isu yang diutarakan sewaktu upacara formal yang mendapat liputan luas media massa seperti muktamar / persidangan tahunan sesebuah pergerakan kadang-kala bercanggah dan mengguris hati pergerakan lain. Situasi bertambah buruk apabila terdapat percanggahan yang ketara di antara ahli-ahli dan pemimpin pergerakan itu sendiri. Sebagai contoh, isu muzakarah di antara PAS dan UMNO yang timbul selepas pilihanraya umum ke-12 (PRU12) dan isu hudud yang sengaja dicanang oleh Kerajaan Pusat untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Ini tidak seharusnya terjadi sekiranya para pemimpin PAS sebagai contoh, mendekati pemimpin DAP dan PKR secara PERIBADI, berusaha menerangkan sesuatu isu dan mencapai persefahaman tentang isu tersebut, meliputi kalangan ahli, sebelum dibawa ke peringkat nasional. Ini dapat mengelakkan kekeliruan, keresahan dan perpecahan di kalangan pergerakan, ahli dan juga masyarakat awam.
Melalui pendekatan secara peribadi pemimpin-pemimpin ini juga, diharapkan semua pertubuhan / pergerakan / NGO Islam dapat bersatu dalam segala permasalahan umat seperti isu murtad yang semakin berleluasa, hudud, hatta isu Palestin sekali pun tanpa mengira siapa yang membawanya.
”... Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran ...” (Al-Maa’idah: 2).
3. Umat Islam & Individu Muslim
Negara / masyarakat / pertubuhan / pergerakan Islam terbina oleh individu-individu Muslim. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim tidak terkecuali harus meninggalkan segala bentuk maksiat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berpandukan al-Qur’an dan Hadith merangkumi iktikad hati, ucapan dan perbuatan.
Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia yang beragama Islam menyambut kedatangan Tahun Baru 2009 dengan bersuka-ria bercampur maksiat tatkala saudara mereka di Palestin dihujani bom dan peluru yang mematikan. Kepincangan ini ditambah lagi dengan pelbagai hidangan program hiburan yang melalaikan melalui kaca televisyen. Beginikah caranya kita ”meraikan” kesengsaraan saudara sendiri?
Lebih malang lagi apabila orang-orang yang lantang suaranya mengecam kekejaman rejim Zionis, tetapi pada masa yang sama terus menghulurkan wang ringgit untuk ditukarkan kepada peluru yang membunuh saudara mereka di Palestin. Bernama melaporkan pada 9 Julai 2008 bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM8.5 juta sehari untuk rokok, yang mana jenama-jenama rokok terkenal bernaung dibawah syarikat rokok terbesar di dunia milik Yahudi. Sila rujuk
http://lovedasinner.wordpress.com/2007/11/28/philip-morris/ dan
http://en.wikipedia.org/wiki/Altria untuk keterangan lanjut. Jumlah ”sumbangan” tersebut tidak termasuk perbelanjaan rakyat Malaysia ke atas produk-produk lain yang mempunyai kaitan dalam membiayai rejim Zionis Israel. Amat mengejutkan apabila didapati di antara produk-produk tersebut sememangnya amat sinonim dengan kehidupan kita selama ini. Rujukan lanjut boleh dibuat di laman web http://www.inminds.com/boycott-israel.html.
Kita harus menerima hakikat walapun memalukan, yang umat Islam kini hanyalah buih-buih di lautan. Apa yang penting adalah iktibar yang dapat diambil daripada musibah yang menimpa umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia khasnya Palestin, untuk kita memahami akan kepentingan bersatu.
(Photo credit: wikipedia.org)