February 21, 2009

The Most Massive Land Robbery in 21st Century

A group of robbers (Zionist) robbed your house (Palestine), forced you to leave so that they could live inside your house. Then you, the people of the world are going to say: Ok, that’s fine? (Click the image to enlarge).

February 12, 2009

Menonton Televisyen Melalaikan Muslim

Di akhir zaman ini, kebanyakan manusia bekerja di kantor-kantor (pejabat) atau pabrik-pabrik (perusahaan / kilang) yang menuntut keperluan untuk pulang lewat ke rumah demi mencari sesuap rezeki. Sekaligus separuh daripada satu hari dalam kehidupan diperuntukkan untuk berada di tempat kerja sahaja.

Sepulangnya dari tempat kerja, manusia pantas mengadap "TUHAN" yang bermayam di kebanyakan ruang tamu rumah manusia iaitu TELEVISYEN. Kebiasaannya slot berita semasa bermula pada pukul 8 malam di semua saluran diikuti tayangan perdana filem / drama / program realiti (biasanya bercorak nyanyian) yang mengheret hingga ke jam 11 atau 12 tengah malam. Ketika ini 'ibadah apa lagi yang dapat dilakukan pada apabila mata telah mengantuk & badan pula terasa letih. Jangankan membaca al-Qur'an, malah solat 'Isyak yang wajib itu juga amat berisiko untuk tidak terlaksana. Tidurlah yang terbaik sebagai jawapan.

Sekiranya beginilah kehidupan seharian majori manusia Muslim, tidak hairanlah apabila kualitinya seperti buih-buih dilautan. Ini kerana ibadah malam (qiamullail) yang menjadi sumber turunnya rahmat Allah & kekuatan manusia di waktu siang ditinggalkan. Kefahaman manusia terhadap tuntutan-tuntutan agama semakin berkurang malah agama itu ditentang daripada kejahilan akibat meninggalkan pembacaan buku-buku ilmu.

Benarlah al-Imam Hassan al-Banna dalam salah satu daripada 10 wasiatnya yang mashur, yang menganjurkan "Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikruLlah & janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah".

Boleh menonton televisyen, tetapi harus bisa mengawal apa yang ditonton itu. Contohnya, hanya menonton televisyen bagi mengetahui perkembangan terkini kehidupan melalui slot berita. Selesai daripada itu, harus didisiplinkan diri untuk memisahkan diri daripadanya untuk terus mendekatkan diri dengan al-Qur'an dan / atau buku-buku 'ilmiah. Ketahui dan sedarlah bahawa kebanyakan daripada apa yang disiarkan di kaca televisyen tidak perlu pun untuk kita tonton. Tanyalah diri kita sendiri, apakah kebaikan yang kita peroleh daripada tabiat menonton itu dan apakah mudharat daripada tidak menontonnya. Apakah manfaat yang kita peroleh daripada menonton bagi diri kita sendiri dan juga masyarakat? Adakah manfaatnya?

Apa yang dipaparkan dalam artikel ini tidak terhad kepada televisyen semata-mata, malah berkait rapat juga dengan RADIO, INTERNET dan BAHAN-BAHAN BACAAN BERCORAK HIBURAN yang sebahagian besarnya tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada manusia Muslim dalam mendalami pengetahuan agama dan mengenal Allah, seterusnya memberi kekuatan kepada diri, Islam dan ummatnya.
Photo credits: Art direction, concept: JONA, photography: Arjan Benning © 2005

January 29, 2009

StarSUCKS - The Brand That Sucks Palestinians' Blood

Like to suck Starbucks? Think again. (Click the image to enlarge).

Palestin: Menuntut Kesatuan Umat Islam Sedunia

Ketika artikel ini ditulis, seramai 400 nyawa telah terkorban dalam kekejaman terbaru Israel ke atas Gaza yang dikuasai Hamas. Selain daripada Iran melalui presidennya Mahmud Ahmadinejad, dan Lubnan melalui pemimpin HizbuLlah, Hassan NasraLlah serta Libya, tiada negara lain khususnya di kalangan negara-negara umat Islam yang berani mengangkat muka mengutuk kekejaman Israel. Yang ada hanyalah suara-suara lemah pemimpin negara-negara Islam umpama anjing menyalak bukit yang terletak di kampung halaman sendiri. Suara-suara seperti ini sudah pasti tidak perlu didengar mahupun diambil peduli oleh Israel dan sekutu kuatnya Amerika walaupun hanya dengan sebelah telinga.

Malah sesetengah negara Islam sendiri Mesir dan Arab dilihat bersekongkol dengan Israel. melalui tindak-tanduk negara Islam seperti Mesir yang enggan membuka sempadan negaranya dengan Gaza untuk membenarkan kemasukan bantuan makanan dan ubat-ubatan serta menerima pelarian perang. Sikap negara-negara Arab khususnya yang bersikap pengecut dalam menghadapi Israel amat memalukan umat Islam di seluruh dunia.

Perpecahan di kalangan umat Islam telah lama menjadi bahan ketawa dan tepuk tangan musuh-musuh Islam khususnya Yahudi dan Nasrani. Dalam konteks Palestin, musuh-musuh Islam tersenyum puas di belakang tabir gelap kejahatan menyaksikan jarum beracun yang mereka cucuk kini menyebabkan umat Islam tidak mampu bangun untuk menghentikan kezaliman di Gaza. Kita juga telah menyaksikan bagaimana tentera penjajah yang diketuai oleh Amerika telah bertindak sewewang-wenangnya ke atas Iraq dan Afghanistan atas alasan memerangi keganasan yang diketahui kepalsuannya, tanpa sedikit pun dibela oleh negara-negara umat Islam yang lain. Sikap buta, pekak dan bisu ini berpunca daripada barah penyakit ”wahn” yang menular ke dalam hati pemimpin-pemimpin negara umat Islam demi survival politik masing-masing yang telah diresapi oleh proksi Yahudi dan Nasrani. Keadaan ini jauh berbeza apabila kesatuan hati telah menghasilkan satu tindakan cukup ampuh untuk mengalang kekejaman Israel apabila negara-negara Arab bertindak melaksanakan embargo (pemulauan) minyak ke negara-negara Barat pada tahun 1976.

Matan Hadith: Allah tidak akan menolong umat Islam yang bermusuh sesama sendiri

Nampaknya umat Islam kini benar-benar hidup di suatu zaman seperti mana yang disabdakan oleh RasuluLlah SAW di mana rata-rata umat Islam dihinggapi penyakit ”wahn” iaitu suatu penyakit yang membuatkan pengidapnya terlalu menyintai kehidupan dunia dan takutkan kematian. Zaman ini juga sebagaimana sabda RasuluLlah SAW, kualiti umat Islam diumpamakan buih-buih di lautan yang mana bilangannya banyak tetapi tidak mampu mendatangkan apa-apa manfaat. Dalam keadaan ini sabda RasuluLlah SAW, umat Islam dikelilingi dan diratah oleh musuh-musuh Islam seumpama hidangan yang dikelilingi dan diratah oleh orang-orang yang kelaparan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”
Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”

Kesatuan Hati

Apakah penyebab kepada segala kekalutan yang melanda umat Islam hari ini? Ia tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh ”tiadanya KESATUAN HATI di kalangan umat Islam” itu sendiri. Ini terbukti dengan kegagalan negara-negara umat Islam melalui Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) menekan Majlis Keselamatan (SC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN / PBB) mengeluarkan resolusi mengutuk dan menghentikan serangan Israel.

Lantas, bagaimanakah caranya untuk umat Islam bersatu menjadi satu kekuatan?

1. Pemimpin Negara Islam

Setelah melihat ketidaksatuan dan kecelaruan pendirian negara-negara Islam dalam menghadapi isu-isu yang berkaitan umat Islam di pentas antarabangsa baik di peringkat OIC mahupun PBB, pemimpin negara-negara Islam haruslah memulakan usaha penyatuan melalui PENDEKATAN PERIBADI. Sebagai contoh, pemimpin negara Malaysia bertemu dan berbincang tentang kemaslahatan (kebaikan / kepentingan) umat Islam khususnya di belahan Asia Tenggara, bersama-sama pemimpin negara jiran, Indonesia. Semoga melalui pendekatan seperti ini, suatu persefahaman antara pemimpin negara umat Islam terbina dalam menghadapi isu-isu seperti permasalahan umat Islam di selatan Thailand dan Mindanao, Filipina. Persefahaman sebegini amat penting supaya satu pendirian bersepadu yang tidak bercanggah antara satu sama lain dapat diutarakan di peringkat antarabangsa sekaligus dipandang berat dan dihormati.

2. Pemimpin Pertubuhan / Pergerakan / NGO Islam

Berbilang jamaah / harakah dengan pelbagai manhaj (cara) perjuangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersatu. Pergeseran golongan khalaf dan salaf umpamanya, telah banyak menghauskan tenaga dan kekuatan umat Islam dalam menghadapi isu-isu yang jauh lebih mendesak. Benar, kebenaran itu harus ditegakkan, tetapi tatkala musuh-musuh Islam giat menghancurkan Islam secara sistematik dan tersusun, kita masih lagi bercakaran sesama sendiri di bawah tempurung usang. Di manakah FIQH KEUTAMAAN kita?

Memetik kata-kata Dr. Azwira Abdul Aziz, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Al-Qur’an & Assunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika Konvensyen Sunnah ke-4 di Universiti Kuala Lumpur, MICET, Alor Gajah, Melaka pada 28 Disember 2008, kesatuan di antara pergerakan / NGO Islam bertitik-tolak pada KEIKHLASAN para pemimpin pergerakan itu sendiri dalam memperjuangkan kepentingan umat. Ini bermaksud, mereka harus mengenepikan segala bentuk perbezaan idelogi dalam perjuangan dan keegoan dalam hati atas manhaj siapa yang lebih baik, kerana apa jua manhaj dan ideologi pergerakan-pergerakan ini, tujuannya adalah untuk mengangkat martabat Islam dan umatnya.

Pendirian terhadap sesuatu isu yang diutarakan sewaktu upacara formal yang mendapat liputan luas media massa seperti muktamar / persidangan tahunan sesebuah pergerakan kadang-kala bercanggah dan mengguris hati pergerakan lain. Situasi bertambah buruk apabila terdapat percanggahan yang ketara di antara ahli-ahli dan pemimpin pergerakan itu sendiri. Sebagai contoh, isu muzakarah di antara PAS dan UMNO yang timbul selepas pilihanraya umum ke-12 (PRU12) dan isu hudud yang sengaja dicanang oleh Kerajaan Pusat untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Ini tidak seharusnya terjadi sekiranya para pemimpin PAS sebagai contoh, mendekati pemimpin DAP dan PKR secara PERIBADI, berusaha menerangkan sesuatu isu dan mencapai persefahaman tentang isu tersebut, meliputi kalangan ahli, sebelum dibawa ke peringkat nasional. Ini dapat mengelakkan kekeliruan, keresahan dan perpecahan di kalangan pergerakan, ahli dan juga masyarakat awam.

Melalui pendekatan secara peribadi pemimpin-pemimpin ini juga, diharapkan semua pertubuhan / pergerakan / NGO Islam dapat bersatu dalam segala permasalahan umat seperti isu murtad yang semakin berleluasa, hudud, hatta isu Palestin sekali pun tanpa mengira siapa yang membawanya.

”... Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran ...” (Al-Maa’idah: 2).

3. Umat Islam & Individu Muslim

Negara / masyarakat / pertubuhan / pergerakan Islam terbina oleh individu-individu Muslim. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim tidak terkecuali harus meninggalkan segala bentuk maksiat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berpandukan al-Qur’an dan Hadith merangkumi iktikad hati, ucapan dan perbuatan.

Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia yang beragama Islam menyambut kedatangan Tahun Baru 2009 dengan bersuka-ria bercampur maksiat tatkala saudara mereka di Palestin dihujani bom dan peluru yang mematikan. Kepincangan ini ditambah lagi dengan pelbagai hidangan program hiburan yang melalaikan melalui kaca televisyen. Beginikah caranya kita ”meraikan” kesengsaraan saudara sendiri?

Lebih malang lagi apabila orang-orang yang lantang suaranya mengecam kekejaman rejim Zionis, tetapi pada masa yang sama terus menghulurkan wang ringgit untuk ditukarkan kepada peluru yang membunuh saudara mereka di Palestin. Bernama melaporkan pada 9 Julai 2008 bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM8.5 juta sehari untuk rokok, yang mana jenama-jenama rokok terkenal bernaung dibawah syarikat rokok terbesar di dunia milik Yahudi. Sila rujuk
http://lovedasinner.wordpress.com/2007/11/28/philip-morris/ dan
http://en.wikipedia.org/wiki/Altria untuk keterangan lanjut. Jumlah ”sumbangan” tersebut tidak termasuk perbelanjaan rakyat Malaysia ke atas produk-produk lain yang mempunyai kaitan dalam membiayai rejim Zionis Israel. Amat mengejutkan apabila didapati di antara produk-produk tersebut sememangnya amat sinonim dengan kehidupan kita selama ini. Rujukan lanjut boleh dibuat di laman web http://www.inminds.com/boycott-israel.html.

Kita harus menerima hakikat walapun memalukan, yang umat Islam kini hanyalah buih-buih di lautan. Apa yang penting adalah iktibar yang dapat diambil daripada musibah yang menimpa umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia khasnya Palestin, untuk kita memahami akan kepentingan bersatu.

(Photo credit: wikipedia.org)