October 28, 2008

The Matrix (Part I)

Bunga terang dan kumbang. Jari-jemari halus cuba menggapai apa yang menarik perhatian. Rembesan cecair kimia neurotransmitter mengangkut dan memproses data pada sel-sel neuron otak yang terbina di dalam tempurung kepala. Maklumat yang terhasil kemudiannya diterjemahkan kepada pemahaman akan apa yang dilihat, dihidu dan dirasa. Ia juga disimpan sebagai ingatan (memori), yang pada usia ini tidak semuanya kekal ketika menginjak dewasa. Perlahan-lahan anak kecil ini menyedari kehadiran anggota-anggota tubuh serta fungsinya. Perlahan-lahan juga ia menyedari akan kewujudan dirinya!

Ia menderita apabila otak memberitahu bahawa dirinya dalam keadaan lapar dan dahaga. Lantas tangannya menyumbat sesuatu yang bersifat organik ke dalam perut melalui mulut. Otak menterjemahkannya sebagai masin dan manis. "Ohh, sedap", berkata otak. Begitulah kelaparan memaksa manusia makan bagi mendapatkan tenaga. Begitu juga rasa mengantuk memaksa manusia tidur bagi memulihkan sel-sel rosak di dalam badan. Namun, rasa sedap ketika makan tidak bermakna apa-apa apabila perut telah penuh. Malah ketika tidur, manusia berada dalam keadaan nyah sedar. Maka bilakah manusia merasakan nikmat tidur? Begitu juga dengan keinginan seksual yang diakhirnya memastikan kelangsungan zuriat. Semuanya hanya untuk memastikan kelangsungan hidup manusia.

Sel-sel epidermis mati pada bahagian kulit yang paling luar digantikan oleh sel-sel dari bahagian dalam dengan kadar yang hampir sama. Sel-sel darah yang mati dilupuskam di hati dan diganti oleh sel-sel baru yang dibina oleh sum-sum tulang. Maka apakah kaki, tangan, mulut dan telinga kita ini adalah kaki, tangan, mulut dan telinga kita setahun yang lalu?

Apabila seseorang manusia itu mati, jasadnya terurai kepada unsur-unsur yang membentuknya – karbon, hidrogen, oksigen, nitrogen, fosforus, kalsium, ferum, zink, magnesium dan lain-lain lagi. Unsur-unsur ini kembali kepada tanah yang kemudiannya diserap oleh tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan haiwan (yang menjadi makanan manusia). Nah, manusia dan zuriatnya terbentuk oleh unsur-unsur yang melalui suatu kitaran yang berulang. Maka apakah yang BENAR dan KEKAL pada diri seorang manusia?

Dan mereka bertanya kepadamu tentang ROH. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit". (Al-Israa’: 85)

Apakah manusia mengira, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-belulangnya? Bukan demikian, sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna. (Al-Qiyaamah: 3-4)

No comments: