November 13, 2008

Ayat-Ayat Cinta (dan Kisah Pengebom Bali)

Di dalam sebuah tren yang sedang bergerak, dua sahabat yang telah lama tidak bertemu yakni Farhi (warga Indonesia) dan Ashraf (warga Mesir), berdiri sambil berbual di antara para penumpang. Dari celahan orang ramai, muncul dua orang perempuan warga Amerika mencari tempat duduk kosong untuk mereka duduki. Dari tempat duduknya, seorang lelaki Mesir merenung tajam kelibat mereka. Tiba di suatu tempat, seorang muslimah warganegara Jerman, Aisha bangun lalu menawarkan tempat duduknya kepada salah seorang daripada warganegara Amerika tersebut.

Lelaki Mesir:
Ya Muslimah, kenapa kamu berikan tempat duduk buat dia? Mereka orang kafir… Kita sengaja tidak kasi (beri) tempat untuk mereka. Kamu ini Muslimah atau bukan?!

Perempuan Amerika:

Maafkan saya. Dia hanya ingin membantu saya. Ibuku kecapekan (keletihan) kerana kepanasan di luar.

Aisha:

Islam mengajarkan kita berbuat baik kepada siapa pun!

Lelaki Mesir:

Tapi tidak kepada kafir Amerika. Kamu tahu apa yang dilakukan Amerika di Afghanistan, Palestin, Iraq? Mereka menuduh Islam itu terrorist, padahal mereka sendiri yang terrorist!

Aisha:

Saya tidak peduli dengan semua itu!

Lelaki Mesir naik angin lalu cuba menumbuk Aisha tetapi pantas dihalang oleh Farhi.

Farhi:
Kau telah menyakiti RasuluLlah. Kau telah menentang RasuluLlah untuk berseteru di hadapan Allah kelak di hari akhirat.

Lelaki Mesir naik angin lagi dan cuba mengasari Farhi pula tetapi dihalang oleh Ashraf yang lantas memperkenalkan Farhi sebagai pelajar University Al-azhar.

Lelaki Mesir:
Kalau kamu memang orang Al-Azhar, kamu tahu apa tentang penderitaan bangsa Arab?!

Farhi:

Orang asing yang masuk ke sebuah negara dengan sah, beerti dia seorang yang harus dilindungi keselamatan dan kehormatannya.

Lelaki Mesir:

Mereka itu bukan orang asing. Amerika itu terrosist, kafir!

Farhi:

RasuluLlah Muhammad SAW berkata: “Barangsiapa menyakiti orang asing, beerti dia menyakiti diriku. Dan barang siapa menyakiti diriku beerti dia menyakiti Allah”. (dituturkan dalam bahasa Arab)

Kita boleh benci perbuatan buruk seseorang, tapi harus tetap adil!

Kali ini pipi Farhi disinggahi penumbuk lelaki Mesir itu sehingga jatuh terduduk. Setelah ditenangkan oleh Ashraf, lelaki Mesir tersebut bersurai sambil mengangkat tangan melaungkan takbir…
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Assalamu’alaikum ikhwah & akhawat.

Sy lebih berpegang kepada pendirian Farhi dan Aisha dalam petikan filem “Ayat-Ayat Cinta” seperti yang dipaparkan di atas, dalam pada memandang isu pengebom Bali.

‘Umar al-Khattab sewaktu penaklukan Jurusalem (Baitulmaqdis) oleh tentera Islam telah bertindak mengisytiharkan jaminan keselamatan terhadap perjalanan, rumah ibadat, harta benda & nyawa penduduk yang beragama Kristian dan Yahudi secara bertulis.

Salahuddin al-Ayyubi pula sewaktu menawan Jurusalem ketika Perang Salib II mengisytiharkan jaminan keselamatan perjalanan & nyawa bukan sahaja kepada penduduk (orang awam) yang beragama Kristian, malah kepada tentera Kristian yang tewas dalam peperangan Hittin dengan tentera Islam - walaupun ketika Perang Salib I tentera Kristian telah menyembelih orang awam Muslim termasuk wanita & kanak-kanak sehingga darah setinggi lutut kuda!

Sultan Muhammad II (Al-Fatih) ketika menakluk Constantinople (kini Istanbul) turut memberikan jaminan keselamatan perjalananan, kehormatan, harta benda & nyawa kepada penganut Kristian Franciscan Bosnia.

Maha Suci Allah, inilah fitrah (nature of Islam) saat kekuasaan berada di tangan Khalifah-Khalifahnya yang benar. Sesugguhnya pembukaan (penaklukan) kedua-dua kota tersebut telah diisyaratkan dalam hadith RasuluLlah SAW terlebih dahulu termasuk perihal Al-Fatih yang disabdakan sebagai sebaik-baik raja & tenteranya sebaik-baik tentera.

Mungkin sekurang-kurangnya satu perkara yang perlu difikirkan oleh kita ialah: Apakah kesan terhadap persepsi (tanggapan) / penerimaan / perkembangan Islam di kalangan orang-orang bukan Islam (yang telah sedia memandang serong / fobia dengan Islam) dengan kejadian pengeboman & seumpamanya? Sejarah telah mencatatkan bahawa dengan sikap seperti Farhi, Aisha, ‘Umar, Salahuddin, Al-Fatih dan ramai lagi, telah menyaksikan kemasukan orang-orang bukan Islam ke dalam Islam secara berbondong-bondong…
Sesungguhnya tidak ada jalan mudah menegakkan Islam melainkan dengan manhaj (jalan) yang telah ditunjukkan oleh RasuLullah SAW, bukannya mengikut emosi atau dendam dengan mengatas namakan "JIHAD".

WaLlahu a’lam.

No comments: