December 11, 2008

Majulah Sukan Untuk Negara - Bahagian I

Desember 10, 2008. Rakyat Malaysia sekali lagi menerima tamparan dengan aib yang menimpa pasukan bolasepak negara. Kejohanan Piala AFF Suzuki (dahulunya Piala Tiger) antara negara-negara Asean menyaksikan pasukan Malaysia terpaksa pulang seawal di peringkat kumpulan. Kalah dengan Vietnam 2-3 akibat persembahan "budak sekolah" penjaga gol terbaik negara Helmi Eliza Elias dan akhir sekali tunjuk 0-3 dengan tuan rumah, Thailand yang sememangnya diketahui kuat.
Sejauh mana pasukan Malaysia mampu pergi dalam sesuatu kejohanan terutamanya di peringkat antarabangsa adalah sebenarnya melambangkan tahap profesionalisma pengurusan negara berbanding negara-negara lain, khususnya di kalangan jiran serantau.
Kenyataan yang dibuat Jurulatih kebangsaan B Sathianathan bahawa "tekanan bagi memastikan kemenangan menjadi punca kekalahan pasukan negara" adalah terlalu dangkal dan sukar diterima akal. Ini bukanlah alasannya. Setiap pasukan yang bertanding sudah pasti merasai tekanan yang serupa. Sekiranya tidak mahu merasai / tidak tahan dengan tekanan, maka tidak perlulah menyertai mana-mana kejohanan!
Berbalik kepada soal pengurusan, apakah Malaysia ketandusan individu-individu berkualiti yang tahan tekanan psikologi walaupun bermain di tempat lawan? Ini sudah pasti tidak akan berlaku sekiranya proses pemilihan dijalankan secara terurus sejak dari bangku sekolah lagi. Persoalannya, adakah potensi individu-individu berbakat pada peringkat ini dikembangkan ke peringkat daerah, negeri dan seterusnya negara? Kita sedia maklum campur tangan politik telah mengutamakan individu berkepentingan untuk menyertai pasukan negara. Maka rakyat Malaysia menyaksikan negara mereka diwakili oleh sebuah pasukan tempang yang dibiayai oleh wang daripada cukai pendapatan mereka setiap kali kejohanan bermula.
Sudahkah kita belajar daripada negara-negara maju di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang suatu ketika dahulu terpaksa mendongak melihat Malaysia? Mereka membina pasukan dengan mendahulukan pembinaan insan, tidak hanya merangkumi latihan tetapi bermula dengan pembangunan fizikal melalui program pemakanan yang maju. Maka kita dapat menyaksikan orang-orang Jepun yang terkenal dengan jolokan "pendek", pada hakikatnya mempunyai pemain-pemain yang berketinggian dan berstamina tinggi untuk bersaing dengan pemain-pemain pasukan lain dari seluruh dunia, khususnya dari Eropah. Apakah kita mempunyai program seumpamanya selain daripada kontroversi pembelian pusat latihan sukan di London yang mencecah nilai berjuta-juta ringgit?
Akhir sekali, perkara yang paling penting untuk dimiliki oleh para pemain / ahli sukan yang bertanding di peringkat antarabangsa ialah: keyakinan diri & daya tahan psikologi yang tinggi. Inilah yang tidak dimiliki oleh para pemain dalam pasukan bola sepak negara. Ia antaranya disebabkan oleh:
  1. Reputasi pasukan Malaysia di kalangan negara-negara lain (seperti sering kalah, negara dunia ke-3 dsbnya).
  2. Kekurangan pengalaman beraksi diperingkat antarabangsa (gugup).
  3. Pasukan lawan telah mendahului.
  4. Pemain pasukan lawan lebih tinggi dan berketrampilan.
  5. Penetapan pemikiran (mind set) yang negatif terhadap faktor-faktor di atas (tidak boleh, pasti kalah, penyokong mereka ramai, apa kata penyokong sendiri dsbnya).
Maka sekiranya minda pemain telah terkunci oleh faktor-faktor di atas, tiada gunanya lagi berada di atas padang. Segala bentuk latihan dan kemenangan yang selama ini dikecapi di "kampung" sendiri tidak lagi mampu menjadi motivasi dan kekuatan untuk menenangkan diri, mengukuhkan pasukan bagi menghadapi lawan.
Pesatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus fokus kepada permasalahan pengurusan dalam pembentukan pasukan yang berwibawa. Tetapi sebelum itu, FAM harus menyelesaikan beberapa masalah dalaman termasuk isu perebutan jawatan dan rasuah. Sekiranya FAM tidak mampu, maka kerajaanlah yang harus memainkan peranan. Apa tidaknya, demi memastikan wang pelabur (cukai pendapatan rakyat Malaysia) benar-benar berbaloi dalam menjulang maruah mereka di mata dunia!

No comments: