December 12, 2008

Ketuanan Bangsa vs Ketuanan Akidah

Isu ketuanan ras / bangsa (Melayu) sering kali dimainkan, baik oleh para pemimpin parti dominan (UMNO) mahupun parti komponen dalam pakatan pemerintah (khususnya MCA) akhir-akhir ini. Dipercayai isu ini sengaja dimainkan untuk meraih populariti di kalangan penyokong masing-masing selepas kemerosotan besar undi semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac lalu.
Isu Ketuanan Bangsa telah diulas oleh Mantan Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menggandingkan isu Ketuanan Islam.
Secara ringkas, sekiranya kita memperjuangkan bangsa, setiap bangsa akan mendakwa mereka lah yang lebih baik seperti mana bangsa Aryan Jerman ketika Perang Dunia ke-2 yang melakukan kekejaman terhadap bangsa-bangsa lain khususnya Yahudi. Malah bangsa Yahudi sendiri menganggap bangsa bukan Yahudi sama seperti binatang (ghoyyim) dan "halal" dianiaya & dibunuh.
Sebaliknya, sekiranya setiap bangsa bernaung di bawah satu agama (yakni ideologi / akidah Islam), maka tidak timbul soal bangsa mana yang lebih baik & berhak memerintah. Ini adalah kerana Islam menetapkan tidak ada yang membezakan seseorang di sisi Tuhannya (termasuk warna kulit & keturunan) kecuali iman & takwa yang ada di dalam dada. Asalkan seseorang itu 'alim & wara', bercita-cita menegakkan yang hak & menghapuskan yang batil, maka ia layak untuk menjadi pemerintah.
Rasulullah pernah bersabda, “Dengarlah segala penintah dan patuhilah kepada pemerintah kamu walaupun dia seorang hamba Habsyi yang berkepala seperti buah anggur selama ia memenintah menurut kitab Allah.” – Hadith Al-Bukhari
Inilah yang telah ditunjukkan oleh RasuluLlah SAW melalui penyertaan & sumbangan orang-orang bukan 'Arab dalam kebangkitan Islam seperti Salman al-Farisi yang berbangsa Parsi (kini Iran) & Bilal bin Rabah yang berkulit hitam, berbangsa Habsyah (kini Eutophia).
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (al-Hujuraat, 13).
Maka tugas kita pada hari ini ialah menyampaikan risalah Islam (berdakwah) kepada rakyat Malaysia (tidak kira apa jua bangsa) yang belum menerima Islam dalam hati-hati mereka setelah lebih 50 tahun negara diperintah oleh parti yang memperjuangkan bangsa!

No comments: