December 13, 2008

Permudahkanlah, Jangan Dipersulit

Ketika proses pendaftaran perkahwinan saya dan bekas isteri di salah sebuah Pejabat Agama Islam, kami ditanya akan “nama Islam” isteri saya yang berbangsa Jepun untuk dicatatkan pada sijil pernikahan. Mujurlah beliau telah memikirkan nama yang sesuai sebelum itu.

Nama adalah perkara yang paling asasi bagi seorang insan. Bayangkan apakah perasaan seseorang yang bukan Islam pada asalnya apabila terpaksa menukar nama yang telah menjadi identiti & darah dagingnya apabila dewasa kerana ingin memeluk Islam. Bukan itu sahaja, ia juga harus di”bin”/”binti”kan dengan “Abdullah”.

Islam melarang seseorang itu di”bin”/”binti”kan dengan selain bapa kandungnya di mana hukumnya adalah HARAM. Maka dari manakah datangnya dalil yang dijadikan alasan oleh pegawai bertanggungjawab apabila dikemukakan persoalan tersebut – “Abdullah adalah bapa Rasulullah SAW & bapa bagi setiap orang Islam. Maka setiap orang yang memeluk Islam haruslah di”bin”/”binti”kan dengannya sebagaimana Rasulullah SAW.” Ini secara jelas mendiskriminasikan golongan yang baru memeluk Islam (mu'alaf) dengan mereka yang Islam sejak dilahirkan.

Terhadap bekas isteri saya juga, rakan-rakan setempat kerja pernah mengemukakan soalan: “Nama Melayu dia apa?” Jika inilah soalan yang keluar dari mulut orang-orang Melayu Islam, maka tidak hairanlah jika begitu sukar untuk kita melihat kemasukan kaum majoriti Cina & India di Malaysia ke dalam Islam. Mana tidaknya, masuk (memeluk) Islam dikaitkan dengan masuk (menjadi) Melayu – sedangkan agama & bangsa adalah 2 perkara yang berbeza!

Siapakah yang dilahirkan sebagai Melayu yang ingin menjadi India & siapakah yang dilahirkan sebagai Cina ingin menjadi Melayu? Lahirnya seseorang sebagai bangsa tertentu adalah hakikat yang tidak boleh diubah. Agama pula adalah sebaliknya! Maka berhentilah daripada terus-menerus memberikan gambaran yang salah tentang Islam.

Bangsa Cina amat mementingkan supaya nama keluarga dikekalkan pada keturunan mereka. Contohnya “Lee” – Lee Chee Hian, Lee Sai Chee dan sebagainya. Benar, nama yang bercirikan Islam adalah syiar kepada Islam itu sendiri. Tetapi yang jauh lebih penting ialah kesaksian bahawa “Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah, Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah” dalam hati, perkataan & perbuatan. Maka masuklah ke dalam Islam terlebih dahulu, apabila berkenan nanti, adaptasikanlah salah satu daripada nama-nama yang baik, disamping mengekalkan nama yang asal.

Wahai orang-orang yang berkuasa di kantor-kantor pemerintahan, di manakah Fiqh Keutamaan kamu? “Permudahkanlah segala urusan, jangan dipersulit. Dan ajaklah dengan baik, jangan menyebabkan orang menjauh.” (Hadith RasuluLlah SAW).

No comments: